Sejarah

Sekolah Kebangsaan Laguna Merbok mula dibuka pada Januari 2014. Bagunan yang didirikan oleh Tajar Construction di atas plot 3229, dengan keluasan tanah seluas 6 ekar ini siap sepenuhnya pada tanggal 16 Oktober 2012 dengan kos perbelanjaan sebanyak RM20,226,666.00. Majlis penyerahan projek telah disempurnakan oleh Encik Abdul Aziz Bin Haji Ashaari, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 12 September 2013.

Nama Sekolah Kebangsaan Laguna Merbok adalah bersempena dengan kawasan perumahan sekitarnya, iaitu Bandar Laguna Merbok yang dibangunkan oleh Paramount Property Sdn. Bhd.

Dibuka untuk sesi persekolahan 2014, sekolah ini menerima murid seramai 411 orang murid, 50 orang murid prasekolah dan 31 orang guru. Encik Ghazali Bin Said, selaku “caretaker” telah dilantik sebagai guru besar.

Mempunyai 13 buah kelas dari tahun 1 hingga 5 dan dua kelas pra sekolah, sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini telah berjalan dengan lancar di samping pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum dan juga ko-akademik.

Murid-murid yang berpindah ke sekolah ini terdiri dari sekolah sekitar seperti Sekolah Kebangsaan Tasek Apong, Sekolah Kebangsaan Sungai Layar, Sekolah Kebangsaan Syed Jan Al-Jafri, Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sekolah Kebangsaan Taman Ria, Sekolah Kebangsaan Convent dan Sekolah Kebangsaan Saint Theresa.

Pada 22 April 2018, nama Sekolah Kebangsaan Laguna Merbok telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Laguna Merbok dan telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Kementerian Pelajaran Malaysia.